Koleksi Longchamp x Constantin Meraikan Seni Dan Warisan Kota Paris
Kolaborasi Longchamp x Constantin Riant buat koleksi Musim Luruh 2025 merakam keindahan kota Paris dalam rona biru dan putih, mengangkat seni kraf tangan ke pentas fesyen. Setiap helaian menjadi simbol warisan dan puisi visual yang halus.
Apabila seni bertemu kraf tangan, terbitlah satu dialog penuh makna antara dua dunia dan itulah yang dizahirkan dalam kolaborasi istimewa antara jenama ikonik Longchamp dan seniman dari Paris, Constantin Riant untuk koleksi Musim Luruh 2025. Segalanya bermula dengan bakat seni tangan pelukis dan kepakaran artisan kulit. Titik pertemuan ini membentuk ciptaan indah dalam rona biru dan putih yang mendefinisikan semangat Paris melalui tas tangan, aksesori serta deretan pakaian RTW yang penuh kreatif.
Naratif Bergaya Longchamp x Constantin Riant
Constantin Riant, pelukis dan pembuat seramik yang terkenal akan imaginasi eksentrik dan mata tajamnya terhadap perincian kota, menyuntik idea karya daripada pemerhatian harian terhadap kehidupan bandar. Dalam corak biru kobalt yang ekspresif, Constantin membawakan perincian suasana kedai kecil artisan di Paris. Daripara penjual buku hingga tukang gitar, ia menjadi motif utama pada skarf sutera ikonik Les Artisans de Paris. Pelukis berbakat ini turut membuktikan bahawa keindahan sebenar terletak pada perkara yang sering kita terlepas pandang.
Sebagai tanda penghargaan terhadap warisan Longchamp yang berakar pada seni kerja kulit, Constantin Riant mereka sebuah emblem istimewa yang merangkum identiti serta elemen ikonik rumah fesyen ini. Di dalamnya, tersembunyi simbol-simbol bermakna seperti jarum dan benang, paip kulit pertama, pesawat serta kapal yang nyata melambangkan semangat eksplorasi dan perjalanan. Emblem ini lantas memperindah item fesyen termasuk jaket kapas, overalls, t-shirt dan versi baharu beg Le Pliage, kesemuanya direka dalam kanvas kapas biru putih yang membangkitkan estetika klasik namun indah seiring masa.
Kolaborasi ini bukan sekadar himpunan pakaian, ia adalah naratif visual tentang seni, kota dan warisan. Seperti yang diungkapkan Riant, “Saya merakamkan perasaan mengembara di kota sendiri melalui permainan tipografi dan warna, meraikan gerakan tangan yang menjadi nadi kepada seniman dan artisan.” Longchamp dan Riant bukan sekadar menghasilkan sebuah koleksi, namun merayakan Paris dalam nuansa klasik, artisanal, dan cukup timeless.
Artikel Berkaitan: ‘The Kimono Jacket’ Olahan Gaya Paris Longchamp