Farhana Fuad, Author at Glam Beauty Club
?>

Dalam dunia moden yang serba pantas, rutin self-care sering terpinggir di sebalik tanggungjawab dan tekanan harian. Namun, melalui recap GBC Love Wellness, GLAM Beauty Club meraikan misi untuk mengembalikan makna sebenar penjagaan diri dengan enam pengalaman eksklusif yang menenangkan minda, menyegarkan tubuh, dan menyuburkan jiwa.

Setiap acara dalam siri ini menggabungkan unsur relaksasi, kecantikan dan kesihatan holistik dari sound bath therapy, onsen spa, hingga aqua fitness dan ice bath therapy. Ia bukan sekadar aktiviti, tetapi perjalanan untuk mengenali semula diri dan meraih keseimbangan yang tulen.

Jom kita selami kembali detik paling berkesan dalam recap GBC Love Wellness, di mana setiap pengalaman menjadi simbol kasih sayang terhadap diri sendiri.

Minggu lalu, GLAM Beauty Club (GBC) menutup tirai siri #GBCLoveWellness2025 dengan penuh gaya di Rise & Plunge, Bangsar Village II. Acara penutup ini dirancang dengan istimewa kerana setiap ahli yang hadir berpeluang merasai sendiri gabungan dua pengalaman berbeza: terapi sauna yang menenangkan diikuti dengan ice bath yang menyegarkan. Ia menjadi satu perjalanan kesejahteraan lengkap yang menggabungkan cabaran fizikal dan ketenangan jiwa.

Sebagai acara terakhir dalam siri ini, suasana terasa hangat dan penuh semangat kebersamaan. Ahli GBC menyertai kedua-dua aktiviti dengan penuh keterujaan, bermula dengan kehangatan sauna sebelum melangkah ke sesi ice bath. Gabungan ini menjadikan pengalaman lebih seimbang, tubuh diberi peluang berehat sambil minda diuji dengan cabaran yang memberi kekuatan baharu.

Ahli GLAM Beauty Club (GBC) diraikan minggu lalu dalam siri GBC Love Wellness yang cukup mendapat sambutan hangat. Kali ini, acara berlangsung di Sunway Resort dengan aktiviti utama iaitu sesi aqua fitness yang penuh bertenaga, disertai DIY Lemonade yang segar dan menyeronokkan. Gabungan aktiviti ini memberi pengalaman yang seimbang antara kecergasan dan santai.

Lebih daripada sekadar acara, GBC Love Wellness memberi peluang untuk ahli keluar seketika daripada kesibukan rutin harian. Dengan suasana eksklusif di Sunway Resort, ia menjadi ruang untuk berhubung, berkongsi momen istimewa dan meraikan gaya hidup sihat bersama komuniti GBC.

Seperti edisi sebelum ini, acara ini terus menekankan pentingnya self-care. Daripada aktiviti kecergasan hingga sentuhan santai, setiap elemen dirancang untuk memastikan ahli GBC merasai pengalaman yang bermakna dan bernilai.

Bangsar baru-baru ini menjadi lokasi istimewa apabila GBC Love Wellness menganjurkan acara eksklusif untuk siri ke-4 di salon COCOdry. Sejak melangkah masuk, ahli GBC disambut hangat oleh pasukan COCOdry dalam suasana mesra dan elegan. Acara ini memberi tumpuan utama kepada seni dandan rambut, bukan hanya sebagai rutin kecantikan harian, tetapi sebagai pengalaman yang dirangka dengan penuh inspirasi dan sentuhan eksklusif.

Sesi dandan rambut dalam acara ini ditampilkan sebagai lambang keyakinan dan ekspresi diri. Lebih daripada sekadar menggayakan penampilan, ia mencerminkan personaliti serta gaya hidup setiap individu. Ahli GBC yang hadir berpeluang memperdalam ilmu, mencuba teknik baharu dan bertukar pandangan, sambil menikmati suasana santai bersama komuniti yang berkongsi minat serupa.

GBC Love Wellness kembali minggu lalu dengan acara eksklusif yang berlangsung di POSH Nail Spa, Bukit Tunku. Dihadiri oleh ahli GBC, sesi kali ini dirancang untuk memberi ruang kepada ahli menikmati pengalaman santai sambil meraikan keindahan self-care menerusi sesi manicure.

Berbeza daripada siri sebelum ini, acara kali ini berfokus kepada sesi manicure yang menggabungkan rawatan ringkas, perkongsian tip kecantikan dan aktiviti praktikal. Selain mencantikkan kuku, peserta juga berpeluang belajar teknik mudah yang boleh diamalkan sendiri di rumah.

Tidak ketinggalan, acara turut diserikan dengan door gift premium serta sajian makanan dan minuman yang ditaja khas. Gabungan aktiviti, hadiah dan suasana mesra menjadikan acara ini satu lagi kenangan bermakna dalam siri Love Wellness.

Dalam kesibukan rutin harian, tubuh dan minda sering terlepas peluang untuk benar-benar berehat. Menyedari keperluan ini, GBC kembali dengan sesi kedua 'love wellness' di Urban Retreat Onsen Spa, Sunway 163 Mall minggu lalu. Acara eksklusif ini memberi peluang ahli GBC menikmati pengalaman mandi onsen sambil dimanjakan dengan rawatan spa yang dirancang khusus demi kesejahteraan diri.

Sejurus melangkah masuk, tetamu disambut dengan suasana ala spa Jepun yang mendamaikan dengan pencahayaan lembut, haruman aromaterapi yang menenangkan dan alunan muzik halus yang seakan membawa mereka jauh dari kesibukan kota. Suasana itu menjadi permulaan sempurna untuk para peserta menekan butang “pause” dan menyerahkan diri kepada pengalaman istimewa yang menanti.

Namun, acara ini bukan sekadar santai semata-mata. Ia turut mengingatkan bahawa self-care perlu menjadi amalan konsisten. Bagi sesi kali ini, setiap peserta diberi peluang merasai gabungan rawatan spa menyeluruh selama 60 minit yang disesuaikan mengikut keperluan masing-masing.

Dalam dunia yang serba sibuk, ruang untuk berehat dan kembali fokus kepada diri sendiri semakin bernilai. Inilah semangat di sebalik sesi pertama GBC Love Wellness yang berlangsung minggu lalu di lokasi eksklusif Sages KL. Acara ini menghimpunkan ahli-ahli GBC dalam sebuah pengalaman pemulihan diri yang unik, melalui pendekatan sound bath therapy yang dibimbing oleh fasilitator berpengalaman, Sheriza Fazleen.

Sheriza Fazleen, pengasas @surrenderandfeel, ialah seorang pengamal terapi tenaga yang mengkhusus dalam sound bath therapy, yang mana satu kaedah penyembuhan berasaskan getaran bunyi daripada instrumen seperti crystal singing bowls, chimes, dan gong. Beliau membimbing para peserta melalui sesi yang memberi penekanan kepada keseimbangan tenaga dalaman, pelepasan tekanan emosi dan pemulihan spiritual.

Rebut peluang keemasan ini dengan promosi eksklusif untuk GBC Love Wellness, satu inisiatif istimewa daripada GLAM Beauty Club untuk anda yang mengutamakan kesejahteraan minda, tubuh dan emosi. Program ini bukan sekadar acara kecantikan biasa, sebaliknya satu perjalanan holistik yang direka untuk menyegarkan kembali rutin self-care anda, menaikkan keyakinan diri dan membina gaya hidup lebih seimbang.

Terbuka kepada semua ahli GBC, termasuk yang baru mendaftar, GBC Love Wellness akan berlangsung sepanjang Ogos hingga September 2025. Ia menampilkan pelbagai aktiviti seperti terapi badan, meditasi bunyi, aqua fitness, sesi spa, sauna dan dandanan rambut, semuanya dipilih khas untuk membantu anda reset dari tekanan harian dan menyuburkan semula tenaga dalaman.

Selain menyertai aktiviti menarik, anda juga berpeluang menjadi sebahagian daripada komuniti wanita yang positif, menerima door gift eksklusif, dan mencipta tabiat penjagaan diri yang lebih konsisten. Setiap sesi bukan sahaja memberi manfaat fizikal, tetapi juga memberi ruang untuk anda bernafas dan kembali selari dengan diri sendiri.