Ummi Nasir: Mencari Makna Di Antara Kerjaya & Keibuan - Glam Beauty Club
?>

Ummi Nasir: Mencari Makna Di Antara Kerjaya & Keibuan

Bagi Ummi Nasir, perjalanan dalam dunia kecantikan bermula ketika hidup menuntutnya memegang lebih daripada satu peranan. Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anak sambil bekerja, dia melalui rutin yang sama setiap hari. Walaupun memiliki latar belakang dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari Yamanashi University, Jepun dan pernah berkhidmat sebagai jurutera selama lima tahun, ada sesuatu yang dirasakannya masih belum lengkap.

 

Dalam pencarian itu, dia menemui minat terhadap dunia kecantikan. Ummi mula menghadiri kelas solekan, mengambil kerja solekan secara kecil-kecilan dan membina portfolio sendiri, semuanya dilakukan sambil bekerja sepenuh masa dan mengurus anak seorang diri.

“Saya cepat bosan dengan rutin yang sama setiap hari. Sebagai seorang yang kreatif, saya perlukan sesuatu yang sentiasa bergerak, berubah dan memberi ruang untuk saya bereksperimen,” kongsinya.

Minat tersebut akhirnya berkembang menjadi Kaara by Ummi Nasir. Apa yang bermula sebagai ruang untuk mengekspresikan kreativiti melalui solekan kini menjadi sebuah jenama yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk solekan pengantin, kelas kecantikan, analisis warna dan perkongsian ilmu kecantikan.

Namun di sebalik perkembangan jenama yang dibina, peranan sebagai ibu sentiasa menjadi keutamaan. Setiap keputusan yang dibuat bukan lagi tentang dirinya semata-mata, tetapi tentang masa depan anaknya.

Bagi Ummi, keseimbangan tidak pernah bermaksud membahagikan masa secara sama rata. Sebaliknya, ia tentang memberi perhatian sepenuhnya kepada perkara yang sedang dihadapi pada saat itu.

“Balance bukan tentang sama rata, tapi tentang hadir sepenuhnya pada momen yang betul.”

Perjalanan sebagai ibu turut mengubah cara beliau melihat kejayaan. Jika dahulu pencapaian kerjaya menjadi ukuran utama, hari ini kejayaan hadir dalam bentuk yang lebih sederhana tetapi bermakna. Mampu meluangkan masa bersama anak, mendengar cerita hariannya dan menjadi tempat yang membuatkan anak berasa difahami menjadi sesuatu yang jauh lebih bernilai.

Seperti ramai ibu bekerja yang lain, Ummi juga berdepan dengan rasa bersalah yang sering hadir. Namun beliau memilih untuk menghadapinya dengan memastikan ada ruang setiap hari untuk bersama anaknya. Pengalaman tersebut turut membentuk pendekatannya dalam mendidik generasi muda melalui jenamanya, termasuk menawarkan kelas solekan yang lebih sesuai dan bertanggungjawab untuk remaja.

Bagi Ummi Nasir, perjalanan ini bukan sekadar tentang membina sebuah jenama kecantikan. Ia adalah tentang membina kehidupan yang memberi ruang kepada kreativiti, keluarga dan perkara yang benar-benar membawa makna.

Artikel berkaitan: GLAM The Best of Beauty Awards Kembali! Anda Adalah Juri Kami

Syafiqah adalah Pengarang Kecantikan di GLAM Malaysia. Dengan kepakaran dalam penulisan editorial dan pemahaman mendalam tentang dunia kecantikan, Syafiqah memimpin serta menghasilkan kandungan tentang kecantikan dan kesejahteraan, membawakan tip dan panduan untuk kesejahteraan diri dan kecantikan pembaca.

Pengarang Kecantikan