Perfume Vanila: Ada Apa Dengan Nota Vanila?
?>
Ada Apa Dengan Nota Vanila? Ini Rahsia Kenapa Ia Digemari

Ada Apa Dengan Nota Vanila? Ini Rahsia Kenapa Ia Digemari

Manis, hangat dan lembut, vanila merupakan antara nota wangian yang sentiasa wujud dalam wangian-wangian popular. Tetapi ada apa dengan nota Vanila ini? Apakah sebenarnya yang membuatkan nota ini  dan perfume vanila begitu digemari?

Nota seperti vanila sentiasa hadir sebagai nota asas dalam wangian kerana ia tidak hadir dengan karakter yang terlalu kuat. Ia tidak mencuri perhatian secara berlebihan, namun cukup untuk membuatkan kita rasa ‘ketagih’ dengan kelembutannya. Malah aromanya sering dikaitkan dengan rasa selesa, nostalgia dan kemesraan, yang mana menjadi antara sebab ia kerap menjadi pilihan perfumery mewah. 

Safe Space

Salah satu daya tarikan terbesar vanila ialah sifatnya yang familiar, selamat dan menenangkan. Aromanya sering mengingatkan kita kepada kek yang baru dibakar oleh ibu, ais krim, biskut atau pencuci mulut kegemaran. Pengalaman-pengalaman kecil ini kemudiannya membentuk hubungan antara vanila dengan rasa bahagia dan selesa.

Tidak hairanlah vanila sering digunakan dalam produk wangian dan penjagaan diri yang mahu memberikan sensasi comforting. Ia seolah-olah memberi pelukan dalam bentuk aroma hangat, lembut dan mudah didekati.

Perfume Vanila Mengulit Emosi

Deria bau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan emosi dan memori, khususnya hippocampus dan amygdala. Apabila kita menghidu sesuatu, otak boleh terus mengaitkan bau tersebut dengan pengalaman, tempat atau seseorang yang pernah kita temui.

Sebab itulah nota minyak wangi tertentu boleh tiba-tiba mengingatkan kita kepada seseorang, zaman tertentu atau satu peristiwa, malah emosi yang kita rasakan ketika itu. Fenomena ini dikenali sebagai “Proust phenomenon”, apabila sesuatu bau mencetuskan kenangan yang jelas dan kadangkala sangat emosional.

Vanila, khususnya, mempunyai karakter aroma yang lazimnya dianggap manis, lembut dan menyenangkan. Komponen utamanya, vanillin, menyumbang kepada profil khas yang menjadikan vanila begitu mudah dikenali.

Apabila sesuatu aroma dikaitkan dengan pengalaman positif, otak kita boleh membina hubungan emosi terhadapnya. Mungkin itu sebabnya vanila terasa begitu comforting, ia bukan hanya mengenai bagaimana kita mengingati aroma itu, tetapi apa yang aroma itu buat kita rasa.

Jadi, hubungan antara aroma dan memori menjadikan vanila lebih daripada sekadar nota wangian. Ia boleh menjadi pencetus emosi, satu aroma kecil yang mampu membuka kembali helaian memori yang sudah lama tersimpan.

Dari Tradisi Ke Dunia Perfumery

Ada Apa Dengan Nota Vanila? Ini Rahsia Kenapa Ia Digemari

Vanila mempunyai sejarah yang panjang sebelum menjadi antara nota popular dalam industri wangian hari ini. Berasal dari Mexico, vanila telah digunakan oleh masyarakat Totonac sebelum kemudiannya mendapat tempat dalam budaya Aztec. Vanila turut digunakan bersama koko untuk menghasilkan minuman aromatik yang istimewa.

Hari ini, dunia perfumery menggunakan vanila bukan sekadar untuk menghasilkan aroma manis. Nota ini juga berfungsi untuk memberikan gandingan yang harmoni bersama nota-nota yang tertentu.

Digandingkan bersama bunga, ia boleh terasa romantik. Bersama musk dan amber, ia menjadi lebih sensual. Dengan sandalwood atau cedarwood, vanila tampil lebih matang dan elegan. Inilah sebabnya vanila tidak pernah terasa membosankan.

Bukan Semua Vanila Itu Manis

Walaupun sering dikaitkan dengan aroma gourmand, vanila sebenarnya mempunyai pelbagai ‘karakter’. Ada vanila yang aromanya begitu lembut dan berkrim, ada yang lebih powdery, sementara sesetengahnya mempunyai karakter woody, smoky atau spicy, ia bergantung kepada perfumery itu sendiri untuk memilih karakter vanila yang bagaimana.

Dalam wangian moden, vanila boleh menjadi lembut dan minimalis atau tampil lebih dramatik dan mewah. Rahsianya terletak pada nota yang digandingkan bersamanya.

Vanila dan jasmin memberikan sisi yang lebih feminin dan romantik, manakala vanila bersama amber dan musk mencipta aura yang lebih sensual. Sementara itu, kombinasi bersama tonka bean dan sandalwood memberikan karakter yang hangat serta sofistikated.

Mungkin kerana vanila mempunyai keupayaan untuk berada di antara dua dunia. Ia manis namun tidak keterlaluan,

Sifatnya yang versatil membolehkan vanila diterima oleh pelbagai citarasa dan diterjemahkan mengikut personaliti seseorang. Dalam dunia kecantikan yang sentiasa berubah, vanila pula kekal relevan, daripada wangian klasik hinggalah skin scents moden yang minimalis.

Adakah Anda Gadis Vanila?

Pada akhirnya, mungkin tiada satu jawapan tepat mengapa ramai begitu menggemari vanila. Sebahagiannya mungkin kerana sifat aromanya yang hangat dan menyenangkan. Sebahagian lagi kerana kenangan yang tercipta bersamanya. Dan mungkin juga kerana vanila mempunyai kebolehan unik untuk menjadikan sesuatu terasa lebih dekat, lembut dan intim.

Namun bagi sesetengah orang, perfume vanila boleh memberi rasa ‘muak’ jika digunakan berlebihan atau dengan kombinasi yang salah. Walaupun mungkin minoriti, tapi setiap aroma ada yang disukai ada yang tidak.

Walau bagaimanapun, dari sudut saintifik, nota vanila mampu menyenangkan deria. Malah jika anda batuk atau sakit tekak, ais krim vanila akan disarankan sebagai penenang inflamasi. Vanila membawa bersama rasa, tentang rumah, nostalgia, kehangatan dan momen-momen kecil yang membuatkan kita berasa baik. Mungkin itulah rahsia sebenar popularitinya vanila lebih dari sekadar haruman, ia adalah satu perasaan.

Artikel Berkaitan: Adakah Wangian Genderless Hanya Gimik Atau Evolusi Dunia Wangian?