GBC Eksklusif: Ini 3 Tip Kecantikan Nina Ariff, No.3 Wajib Cuba - Glam Beauty Club
?>

GBC Eksklusif: Ini 3 Tip Kecantikan Nina Ariff, No.3 Wajib Cuba

Si jelita, Nina Ariff berkongsi secara eksklusif rahsia di sebalik kecantikannya ketika GLAM Beauty Club Beautea Soiree.

Kemeriahan GLAM Beauty Club Beautea Soiree diserikan dengan kehadiran ramai pencinta kecantikan, termasuk pempengaruh jelita, Nina Ariff yang tampil berkongsi tip dan rahsia kecantikannya. Mencuri perhatian dalam persalinan gaun kuning elegan yang dipadankan dengan tata rias memukau, penampilan Nina sememangnya mampu membuat sesiapa sahaja menoleh dua kali. Lebih istimewa, Nina turut berkongsi secara eksklusif tip kecantikan yang menjadi amalannya selama ini.

Rahsia Kulit ‘Plumpy’ Sebelum Mekap 

Bagi Nina Ariff, solekan yang cantik bermula dengan persediaan kulit yang baik. Sejak kebelakangan ini, antara produk yang menjadi pilihannya ialah SK-II Facial Treatment Essence untuk membantu mempersiapkan kulit, diikuti Lancôme Génifique Ultimate Serum. Menurut Nina, serum tersebut membuatkan kulitnya terasa lebih plumpy, bouncy dan lembap sesuatu yang penting sebelum melangkah ke rutin solekan. Kulit yang cukup lembap bukan sahaja kelihatan lebih sihat, malah membantu solekan tampil lebih cantik dan sempurna serta bertahan lama.

‘Sandwich’ Method Untuk Mekap Kekal Sepanjang Hari 

Pesona menawan Nina Ariff yang sentiasa sibuk dengan sesi penggambaran dan berada di hadapan kamera, solekan yang mampu bertahan sepanjang hari sememangnya penting. Rahsianya? Nina mengamalkan teknik sandwich method dengan menggunakan setting spray di antara beberapa langkah solekan. Antara yang menjadi pilihannya ialah Urban Decay All Nighter atau Charlotte Tilbury Setting Spray. Berbeza daripada kebiasaan menggunakan setting spray hanya selepas solekan selesai, Nina akan menyemburkannya selepas setiap langkah bagi membantu setiap lapisan solekan kekal lebih lama. Teknik inilah yang menjadi rahsianya untuk memastikan solekan kekal cantik dan segar sepanjang hari, terutamanya ketika jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti.

‘Pulse Points’ Ketika Memakai Wangian 

Melengkapkan keseluruhan penampilan, wangian juga menjadi salah satu langkah yang tidak dilupakan Nina. Tipnya adalah memastikan kulit, terutamanya pada bahagian pulse points, berada dalam keadaan lembap terlebih dahulu agar haruman dapat bertahan lebih lama. Selepas menggunakan losen atau pelembap, semburkan wangian pada pergelangan tangan, bahagian siku, leher serta belakang telinga. Menurut Nina, belakang telinga merupakan antara bahagian yang sering terlepas pandang, sedangkan pemakaian wangian pada titik-titik ini boleh membantu haruman kekal lebih lama sepanjang hari. 

Tip kecantikan yang dikongsi Nina cukup ringkas, namun langkah kecil ini mampu menyerlahkan penampilan dan meningkatkan keyakinan diri. Mudah untuk dicuba, jadikan tip Nina sebagai inspirasi dalam rutin kecantikan harian anda.

Artikel Berkaitan: Pemenang TBOB Pilihan GBC Mentafsir Semula Rutin Hair and Body Revolution Masa Kini