Era Clean Girl Semakin Pudar, Smokey Eyes Kembali Menguasai Trend Cantik 2026
Setelah sekian lama Clean Girl mendominasi dunia, nampaknya era ini seakan memberi ruang kepada kepulangan solekan mata berkabut, Smokey Eyes is back!
Tahun 2026 menyaksikan kemunculan semula smokey eyes yang membawa sentuhan dramatik, sensual dan penuh karakter, sekali gus menghidupkan kembali pesona solekan era 90-an dalam interpretasi yang lebih moden. Sebenarnya bukan baru-baru ini sahaja, trend ini sudah beransur-ansur mengambil semula posisinya sejak hujung tahun 2025. Yoon Chae, Jennie, Gabriette dan ramai lagi sudah mula merias mata mereka dengan solekan mata berkabut yang dahulunya dipopularkan oleh Kate Moss ini.
Tidak dinafikan, estetika clean girl telah mencipta pengaruh besar dalam dunia kecantikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Penampilan yang menekankan kecantikan semula jadi menerusi kulit dewy, solekan ringan, kening berbentuk dan bibir glossy menjadi pilihan ramai kerana tampil segar, kemas dan effortless. Namun, seiring perubahan cita rasa serta keinginan untuk bereksperimen dengan penampilan, dunia kecantikan kini sudah sedia untuk menyerlahkan semula sisi edgy.
Tularnya semula smokey eyes bukan sekadar mengimbau nostalgia, malah ia kembali dengan evolusi solekan klasik yang disuntik dengan elemen kontemporari. Jika dahulu solekan mata ini cukup sinonim dengan bayangan hitam pekat, garisan eyeliner yang tajam dan efek dramatik, kini ia hadir dalam pelbagai interpretasi yang lebih lembut, buildable dan mudah digayakan mengikut personaliti.
Sentuhan Grunge Glam dan Pesona 90-an

Inspirasi solekan era 90-an di era Kate Moss kembali mencuri perhatian menerusi gaya grunge glam yang menggabungkan elemen rebel dengan sentuhan feminin yang memikat. Bayangkan eyeliner hitam yang disapu secara tidak sempurna, pembayang mata rona arang yang dibaurkan lembut serta bibir bernada nude atau coklat kusam, dan kening nipis membingkai sempurna persis zaman kegemilangan Ning Baizura dan Naomi Campbell. Penampilan ini memberikan aura misteri dan sensual tanpa kelihatan terlalu sarat.
Berbeza dengan teknik solekan mata yang kemas dan terperinci, grunge smokey eyes lebih meraikan tekstur yang sedikit tidak teratur. Efek smudged eyeliner dan bayangan mata yang dibaurkan sehingga menghasilkan kemasan kabur menjadi kunci kepada penampilan yang kelihatan effortless, seolah-olah tidak memerlukan terlalu banyak usaha untuk tampil mempesona.
Soft Smokey Eyes Untuk Gaya Lebih Moden

Buat mereka yang masih menggemari solekan minimalis, soft smokey eyes boleh menjadi alternatif untuk mencuba trend ini tanpa perlu tampil terlalu dramatik. Layangan rona coklat, taupe, gangsa dan kelabu cair memberikan dimensi pada mata, sekali gus mencipta sisi yang lebih lembut.
Teknik blending yang sempurna menjadi elemen penting bagi menghasilkan peralihan warna yang lembut dan semula jadi. Dipadankan dengan kulit yang kelihatan segar, sedikit pemerah pipi serta bibir dalam rona neutral, gaya ini cukup versatil untuk digayakan pada waktu siang mahupun acara malam.
Clean Girl X Smokey Eyes

Menariknya, kemunculan semula smokey eyes tidak semestinya menandakan pengakhiran era clean girl. Sebaliknya, kedua-dua estetika ini boleh digabungkan untuk menghasilkan penampilan yang lebih seimbang dan moden. Kulit yang tampak sihat dan bersinar, misalnya, boleh menjadi kanvas sempurna buat solekan mata yang lebih dramatik.
Apa yang berubah ialah pendekatan terhadap kecantikan itu sendiri. Solekan kini bukan lagi sekadar tentang mengikuti sesuatu trend, tetapi menjadi medium untuk bereksperimen, mengekspresikan identiti dan meraikan keunikan diri. Bak kata jurusolek profesional Khir Khalid, seni itu adalah apabila manusia henti menggambarkan dunia dengan logik, dan mula tafsir mengikut interpretasi sendiri.
Tahun 2026 mungkin menjadi masa untuk membiarkan mata berbicara dengan lebih dramatik, sekali gus menyuntik sedikit elemen misteri dan glamor ke dalam rutin kecantikan harian. Terima kasih era Clean Girl, dengan gandingan ini mungkin akan menjadikan trend kecantikan era ini lebih polished!
Artikel Berkaitan: GBC Guest Writer : Trend Estetik Clean Girl Itu Pilihan Saya.. Erin Zamree