PDRN, Ini Rahsia Mengapa Ia Menjadi Pilihan Pakar Estetik - Glam Beauty Club
?>

PDRN, Ini Rahsia Mengapa Ia Menjadi Pilihan Pakar Estetik

Apa yang menarik tentang lapangan kecantikan adalah industri ini terus meneroka inovasi baharu dalam penjagaan kulit, dengan PDRN muncul sebagai bahan aktif yang semakin mendapat perhatian menerusi potensinya merangsang regenerasi kulit. 

Di sebalik popularitinya, PDRN mempunyai potensi yang lebih dari hanya penjagaan kulit. Bahan aktif ini dikaitkan dengan pelbagai manfaat, termasuk membantu proses pembaikan tisu, mengekalkan kelembapan dan memperbaiki tekstur kulit agar tampak lebih halus. Formula ini juga mendapat perhatian menerusi potensinya merangsang aktiviti fibroblast yang terlibat dalam penghasilan kolagen, sekali gus menyokong keanjalan kulit. Tidak terhad kepada itu, bahan ini turut digunakan dalam rawatan dermatologi tertentu bagi membantu proses penyembuhan dan pemulihan kulit. 

PDRN Dalam Formula Penjagaan Kulit

Popularitinya dalam dunia K-beauty menjadikan PDRN antara bahan aktif yang semakin mendapat perhatian dalam formulasi skincare. Polydeoxyribonucleotide merupakan fragmen DNA yang telah melalui proses penulenan dan lazimnya diperoleh daripada sumber marin seperti salmon atau trout. Kini, bahan ini turut hadir dalam pelbagai produk penjagaan kulit seperti serum, ampoule dan moisturiser yang memfokuskan kepada hidrasi serta pemulihan kulit. Seiring perkembangan industri kecantikan, alternatif berasaskan tumbuhan seperti ginseng turut diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna yang mencari pilihan vegan.

PDRN Dalam Rawatan Klinik

Pesona PDRN turut mencuri perhatian dalam dunia estetik menerusi rawatan profesional seperti skin booster dan suntikan polynucleotide. Prosedur ini menggunakan teknik suntikan untuk menghantar bahan aktif ke lapisan kulit tertentu bagi menyokong proses regenerasi serta pembaikan tisu dari dalam. Selain membantu memperbaiki tekstur dan keanjalan kulit, rawatan PDRN turut menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menangani tanda penuaan serta penampilan kulit yang semakin kehilangan seri. Berbeza daripada penggunaan skincare harian, prosedur ini memerlukan penilaian dan pemantauan doktor bertauliah bagi memastikan kesesuaiannya dengan keadaan kulit. 

PDRN vs Retinol vs Peptides: Apa Perbezaannya?

Dalam dunia penjagaan kulit, PDRN, retinol dan peptides mempunyai fungsi tersendiri mengikut keperluan kulit. PDRN lebih dikenali menerusi potensinya menyokong proses regenerasi dan pembaikan tisu, manakala retinol membantu mempercepatkan pembaharuan sel serta mengurangkan penampilan tanda penuaan seperti garis halus dan tekstur tidak sekata. Peptides pula terdiri daripada rangkaian asid amino yang membantu menyokong penghasilan kolagen, sekali gus mengekalkan struktur dan keanjalan kulit. Walaupun ketiga-tiganya menawarkan manfaat berbeza, pemilihan bahan aktif yang tepat bergantung pada keadaan serta keperluan kulit masing-masing. 

Siapa Yang Sesuai Menggunakan PDRN?

Bagi mereka yang mendambakan kulit lebih sihat, hidrasi dan tampak anjal, PDRN boleh menjadi salah satu bahan aktif yang wajar diterokai. Potensinya dalam menyokong pembaikan tisu dan regenerasi kulit menjadikannya menarik untuk individu yang berdepan masalah kulit kering, tekstur tidak sekata serta skin barrier yang memerlukan perhatian. PDRN juga boleh dipertimbangkan oleh mereka yang ingin meneroka pendekatan baharu dalam penjagaan kulit, khususnya untuk mengekalkan kualiti dan keanjalan wajah. Namun, sebelum memilih produk atau mencuba rawatan suntikan, penting untuk memahami keperluan kulit sendiri serta mendapatkan nasihat pakar bagi memastikan kesesuaiannya.

Artikel Berkaitan: Era Clean Girl Semakin Pudar, Smokey Eyes Kembali Menguasai Trend Cantik 2026