GBC Tanya Saintis Clé de Peau Beauté Tentang Konsep ‘Recovery’ yang Mengubah Penjagaan Kulit
Selama bertahun-tahun, kolagen dianggap kunci utama dalam memperlahankan tanda penuaan. Namun menurut Global Chief Technology Officer Clé de Peau Beauté, Kiyoshi Sato, sains penjagaan kulit hari ini sedang bergerak ke arah yang jauh lebih mendalam.
Ketika pelancaran Restorative Cream Supreme, GBC berpeluang mendapatkan pandangannya tentang bagaimana pemahaman terhadap penuaan kulit telah berubah, mengapa sel menjadi fokus utama penyelidikan, dan apakah masa depan sebenar dunia anti penuaan.
Mengapa Pemulihan Kulit Menjadi Fokus Baharu

Pemulihan Menjadi Fokus Baharu Berbanding Memperlahankan Penuaan
Menurut Sato, Restorative Cream Supreme bukan sekadar melengkapkan rangkaian Supreme Age Artisans, malah memperkenalkan pendekatan baharu yang beliau gelar sebagai ‘recovery.’
“Kebanyakan produk penjagaan kulit membantu kulit kembali kepada keadaan yang seimbang. Tetapi kami mahu melangkah lebih jauh. Kami mahu membantu kulit beralih daripada keadaan yang menunjukkan tanda penuaan kepada kulit yang lebih kuat dan lebih berdaya tahan.”
Pendekatan ini memberi fokus kepada keupayaan semula jadi kulit untuk pulih, bukan sekadar menyamarkan tanda penuaan yang sudah kelihatan.
Mengapa Kapilari Menjadi Fokus?
Salah satu penemuan yang paling menarik perhatian penyelidik Clé de Peau Beauté ialah peranan rangkaian kapilari pada kulit.
Menurut Sato, kapilari yang sihat membantu menyokong proses pemulihan kulit dengan lebih baik, manakala kapilari yang lemah boleh mempercepatkan kemunculan tanda penuaan seperti kehilangan keanjalan dan kedutan.
“Apabila kami memahami hubungan ini, penyelidikan kami mula memberi tumpuan kepada bagaimana rangkaian kapilari yang sihat dapat dikekalkan.”
Mengapa Tidak Hanya Fokus Pada Kolagen?

Selama ini, kebanyakan perbincangan tentang anti penuaan berkisar mengenai kehilangan kolagen.
Namun bagi Sato, persoalannya bukan sekadar bagaimana meningkatkan kolagen, tetapi mengapa penghasil kolagen itu sendiri semakin lemah.
“Itulah sebabnya kami memberi perhatian kepada sel yang mengalami penuaan. Jika kita hanya meningkatkan kolagen tanpa menangani punca sebenar, hasilnya mungkin tidak bertahan dalam jangka panjang.”
Sato menjelaskan bahawa pendekatan ini membuka ruang kepada penjagaan kulit yang membantu memperbaiki keadaan kulit dari peringkat sel, sekali gus menyokong keupayaan semula jadinya untuk menghasilkan kolagen.
Rahsia Di Sebalik Ketumbar
Salah satu ramuan yang paling mengejutkan dalam Restorative Cream Supreme ialah ekstrak biji ketumbar.
Walaupun lebih dikenali sebagai bahan masakan, Sato berkata pasukan penyelidik menemui potensinya ketika menjalankan kajian yang diinspirasikan daripada bidang perubatan regeneratif.
Kami menemui bukti bahawa ekstrak biji ketumbar berpotensi membantu sel dengan tanda penuaan. Selepas meneliti pelbagai kajian saintifik, kami yakin bahan ini mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan dalam formulasi penjagaan kulit.
Pandangan Sato Tentang Anti Penuaan Juga Berubah

Selepas menghabiskan puluhan tahun mengkaji penuaan kulit, Sato mengakui cara beliau melihat penjagaan kulit hari ini jauh berbeza berbanding dahulu.
“Dahulu saya percaya kosmetik hanya mampu membantu memperlahankan proses penuaan. Tetapi kemajuan sains membolehkan kami memahami punca sebenar perubahan pada kulit dengan lebih mendalam.”
Beliau percaya masa depan anti penuaan bukan lagi sekadar mengurangkan kedutan, tetapi membantu kulit kembali berfungsi dengan lebih baik menggunakan keupayaannya sendiri.
Masa Depan Penjagaan Kulit Lebih Holistik
Apabila ditanya apakah perkembangan terbesar yang bakal mengubah industri kecantikan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, jawapannya bukanlah ramuan baharu.
Sebaliknya, beliau melihat penjagaan kulit akan menjadi semakin menyeluruh.
“Sains kini menunjukkan hubungan yang sangat rapat antara kulit, tekanan emosi, kesihatan fizikal dan juga keadaan usus. Pada masa hadapan, saya percaya penjagaan kulit akan berkembang menjadi pendekatan yang lebih holistik, bukan hanya tertumpu pada apa yang disapu pada kulit.”
Menurutnya, masa depan kecantikan bukan sekadar menghasilkan produk yang lebih canggih, tetapi memahami manusia secara menyeluruh.
Perbualan kami bersama Kiyoshi Sato membuka perspektif baharu tentang masa depan anti-penuaan. Ia bukan lagi sekadar mengurangkan kedutan atau merangsang penghasilan kolagen, tetapi memahami bagaimana kulit berfungsi pada tahap paling asas sebelum membantu mengembalikan keupayaannya untuk pulih dan mengekalkan kesihatan dalam jangka panjang.
Artikel berkaitan: GBC Lulus Eyeliner Merah Ala Zendaya, Berani Cuba?
Syafiqah Alkaf
Syafiqah adalah Pengarang Kecantikan di GLAM Malaysia. Dengan kepakaran dalam penulisan editorial dan pemahaman mendalam tentang dunia kecantikan, Syafiqah memimpin serta menghasilkan kandungan tentang kecantikan dan kesejahteraan, membawakan tip dan panduan untuk kesejahteraan diri dan kecantikan pembaca.