Kulit Anda Warm Tone or Cool Tone? Ini Cara Mudah Untuk Tahu
Masih buntu tidak tahu warna apa yang sesuai untuk kulit anda? Pertama sekali anda perlu tahu apa jenis warna kulit anda atau lebih dikenali sebagai undertone kulit! GBC membawakan Jurusolek, Ummi Nasir untuk terangkan dengan lebih jelas mengenai topik ini.
Jenis warna kulit sering memainkan peranan penting apabila kita memilih warna baju atau solekan yang sesuai. Ada yang menyangka asal kulit cerah tentu semua warna boleh masuk. Tapi sebenarnya tidak semudah itu. Ton warna kulit atau jenis warna kulit terbahagi kepada tiga jenis iaitu, warm tone, neutral atau cool tone.
Untuk mengetahui sama ada ton kulit kita warm, neutral atau cool, perkara utama yang perlu dikenal pasti ialah skin undertone atau ton dasar kulit. Ia berbeza daripada warna kulit luaran (skin tone) yang boleh berubah akibat pendedahan kepada cahaya matahari.
Contohnya, kulit cerah, kuning langsat, sawo matang atau gelap boleh mempunyai undertone yang sama. Jadi, jangan tentukan undertone berdasarkan tahap kecerahan kulit sahaja.
Cara Ketahui Jenis Warna Kulit

1. Padankan Kulit Dengan Aksesori Emas atau Perak
Untuk melakukan ujian analisis warna, pertama sekali anda perlu mempunyai beberapa cebisan fabrik berlainan warna. Kata Jurusolek Ummi Nasir, padankan fabrik atau aksesori berwarna emas dan perak pada kulit untuk terlebih dahulu ketahui jenis warna kulit yang tepat. Ketika itu anda boleh lihat padanan fabrik emas dan perak dengan rona mata putih anda sama ada ia tampak menyerlah atau kusam.
Undertone Warna aksesori yang biasanya lebih menyerlah
Warm: Emas kuning, rose gold
Cool: Perak, platinum, white gold
Neutral: Emas dan perak kedua-duanya kelihatan sesuai.
2. Reaksi Kulit Pada Cahaya Matahari
Cuba anda lihat bagaimana ton kulit anda kelihatan apabila terdedah kepada matahari.
– Warm: Kulit mungkin lebih mudah menjadi perang keemasan (golden tan).
– Cool: Kulit mungkin lebih mudah menjadi merah atau mengalami sunburn.
– Neutral: Reaksi kulit boleh berada di antara kedua-duanya.
Walau bagaimanapun, tindak balas terhadap matahari bukan ukuran yang boleh dipercayai sepenuhnya kerana ia turut dipengaruhi oleh melanin dan faktor genetik. Jangan sengaja mendedahkan kulit kepada matahari untuk menguji undertone.
3. Padankan Kulit Dengan Fabrik Putih dan Krim
Ini antara cara yang berguna untuk melihat bagaimana warna mempengaruhi penampilan kulit. Berdiri di hadapan cermin dengan cahaya semula jadi, tanpa solekan, kemudian letakkan kain putih bersih dan kain krim berhampiran wajah.
– Warm undertone: Warna krim atau ivory mungkin membuatkan wajah kelihatan lebih harmoni.
– Cool undertone: Putih terang mungkin membuatkan wajah kelihatan lebih segar.
– Neutral undertone: Kedua-dua warna mungkin kelihatan sesuai.
Perhatikan sama ada warna kain menyebabkan kulit kelihatan kusam, kekuningan, kemerahan atau lebih sekata. Ini juga antara cara untuk ketahui warna sesuai untuk kulit gelap dan cerah.
4. Lihat Warna Urat

Kata Ummi Nasir, salah satu cara untuk ketahui jenis warna kulit anda adalah dengan melihat bahagian urat. Namun cara ini agak mengelirukan kerana kadang-kala rona urat adalah kurang jelas.
– Cool undertone: Urat kelihatan biru atau ungu.
– Warm undertone: Urat kelihatan hijau.
– Neutral undertone: Sukar membezakan sama ada urat berwarna biru atau hijau, atau kedua-duanya kelihatan.
Kaedah ini hanyalah antara petunjuk mudah. Warna urat tidak semestinya menunjukkan undertone dengan tepat, terutamanya pada kulit yang lebih gelap.
Apabila sudah mengenali jenis warna kulit atau undertone sendiri, proses memilih rona baju dan solekan menjadi lebih mudah, daripada mencari foundation yang kelihatan semula jadi hingga menentukan rona gincu yang paling menyerlahkan penampilan.
Gambar: Pexels
Artikel Berkaitan: GBC Dedah: Kenapa Kulit Kusam Walaupun Sudah Guna Vitamin C?