Produk Kecantikan Sebagai Aksesori Telefon? Yes Please!
Dari pemegang lip balm hinggalah bedak kompak yang boleh dilekatkan pada telefon, aksesori kecantikan kini hadir dengan idea lebih kreatif. Bukan sekadar praktikal, malah menjadi pelengkap gaya yang mencerminkan personaliti pemiliknya.
Telefon pintar sudah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Ke mana sahaja kita pergi, telefon pastinya berada dalam genggaman atau tidak jauh daripada jangkauan. Jadi, tidak hairanlah apabila aksesori telefon mula berkembang menjadi sesuatu yang lebih menarik daripada sekadar sarung pelindung atau pemegang telefon biasa. Terbaharu, dunia kecantikan memperkenalkan pendekatan yang lebih kreatif menerusi beauty phone accessories.
Trend ini menggabungkan fungsi produk kecantikan dengan aksesori telefon dan rantai kunci, menjadikan barangan seperti lip balm, bedak kompak serta wangian lebih mudah dibawa ke mana-mana. Idea di sebaliknya cukup menarik, mengapa perlu menyelongkar beg tangan untuk mencari produk kecantikan jika ia boleh diletakkan terus pada telefon atau kunci?
Fenomena ini turut mendapat perhatian menerusi kemunculan Rhode Lip Case yang memperkenalkan ruang khas untuk menyimpan Peptide Lip Treatment. Kini, semakin banyak jenama kecantikan meneroka idea serupa dengan rekaan yang lebih unik, daripada aksesori bersaiz mini hinggalah produk solekan yang boleh dibawa sebagai pemegang telefon.
DIOR MÉDAILLON Holiday Gift 2026 Edition

Dior memberikan interpretasi lebih eksklusif kepada trend ini menerusi Médaillon Holiday Gift 2026 Edition. Aksesori lip balm ini direka untuk dilekatkan pada bahagian belakang sarung telefon, menjadikannya mudah dicapai setiap kali bibir memerlukan sentuhan kelembapan. Dengan identiti mewah Dior, ia bukan sekadar pelengkap rutin kecantikan, malah tampil sebagai aksesori yang cukup menarik untuk dijadikan koleksi.
Fenty Beauty x Casetify
Apabila dua jenama yang mempunyai identiti tersendiri bergabung, hasilnya pastinya menarik perhatian. Kolaborasi Fenty Beauty bersama Casetify menampilkan aksesori telefon yang direka khas buat pencinta kecantikan dan teknologi. Set ini merangkumi sarung telefon, pemegang MagSafe dua dalam satu, Mini Gloss Bomb Universal Lip Luminizer serta Invisimatte Instant Setting + Blotting Powder. Gabungan ini membolehkan pengguna menyimpan beberapa keperluan kecantikan dalam satu aksesori yang mudah dibawa.
Huda Beauty Easy Bake Pressed Powder Phone Grip

Siapa sangka bedak kompak boleh menjadi sebahagian daripada aksesori telefon? Huda Beauty membawa idea ini ke tahap berbeza menerusi Easy Bake Pressed Powder Phone Grip. Direka untuk memudahkan rutin touch-up, aksesori ini dilengkapi bedak kompak dalam pilihan sehingga lapan rona, cermin kecil dan span mini. Lebih menarik, ia turut berfungsi sebagai pemegang telefon, menjadikannya teman praktikal buat mereka yang gemar memastikan solekan sentiasa kemas sepanjang hari.
Rhode Lip Case and Lip Tint

Rhode antara jenama yang mencetuskan populariti aksesori kecantikan berkonsepkan telefon menerusi Lip Case. Direka dengan struktur silikon yang mempunyai ruang khas untuk menyimpan Peptide Lip Treatment atau lip tint, sarung telefon ini menggabungkan fungsi dan estetika dalam satu rekaan. Selain memudahkan pengguna membawa produk penjagaan bibir kegemaran, bentuknya yang sedikit gebu turut memberikan cengkaman lebih selesa ketika memegang telefon.
Sol de Janeiro Choose Your Jelly Balm + Keychain Duo

Buat pencinta wangian, Sol de Janeiro menawarkan sesuatu yang lebih menyeronokkan menerusi Jelly Balm dan Keychain Duo. Set ini menggabungkan balm wangian pilihan dengan rantai kunci yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa. Pilihan seperti Cheirosa 62 menjadikannya aksesori kecil yang bukan sahaja praktikal untuk sentuhan wangian sepanjang hari, malah cukup menarik untuk digantung pada beg atau kunci.
Kecantikan Dalam Genggaman
Kemunculan beauty phone accessories memperlihatkan bagaimana dunia kecantikan semakin terbuka kepada idea yang menggabungkan fungsi, gaya dan kreativiti. Produk yang dahulunya hanya disimpan di dalam beg tangan kini diberi peranan baharu sebagai sebahagian daripada aksesori harian.
Lebih daripada sekadar trend yang mencuri perhatian di media sosial, pendekatan ini turut memperlihatkan bagaimana jenama kecantikan mencari cara baharu untuk menjadikan produk mereka lebih dekat dengan kehidupan pengguna. Sama ada melalui lip balm yang dilekatkan pada telefon, bedak kompak yang berfungsi sebagai phone grip atau rantai kunci yang menyimpan wangian kegemaran, satu perkara pasti, rutin kecantikan kini semakin mudah dibawa ke mana-mana, dengan sentuhan gaya yang lebih peribadi.
Artikel Berkaitan: Jelly Blush, Adakah Hanya Gimik? Will it Stay or Go?