GBC Eksklusif: Semua Tentang Retinol Yang Anda Patut Tahu Menurut Pakar
Apabila berbicara tentang Retinol, masih ramai yang keliru apakah sebenarnya fungsi retinol ini? Dan apakah kebaikan retinol pada kulit? Sebenarnya ia lebih dari sekadar agen yang melawan penuaan. GLAM Beauty Club berkesempatan menemubual Rita Silva, Pemangku Pengarah Komunikasi Saintifik The Ordinary mengenai Retinol, dan apa yang anda patut tahu sebelum menggunakan bahan ini.
Fungsi Retinol & Jawapan Pakar Tentangnya

1. Apakah sebenarnya retinol dan bagaimana ia berfungsi pada kulit?
Retinol ialah sejenis vitamin A yang telah dikaji secara meluas dan terkenal dengan keupayaannya membantu menangani tanda-tanda penuaan kulit. Ia memerlukan dua peringkat penukaran dalam kulit sebelum menjadi bentuk aktif vitamin A. Setelah diserap, retinol membantu menyokong penghasilan komponen struktur kulit seperti kolagen, elastin dan asid hyaluronik bagi menangani tanda-tanda penuaan yang ketara, termasuk garis halus, kedutan serta kehilangan keanjalan kulit.
Selain itu, retinol turut mempercepatkan proses pembaharuan semula jadi kulit dengan membantu menyingkirkan sel-sel kulit mati dan pigmentasi tidak sekata. Hasilnya, tekstur kulit kelihatan lebih halus, licin dan sekata.
2. Mengapa retinol menjadi antara bahan penjagaan kulit yang paling hangat diperkatakan?
Retinoid, iaitu keluarga bahan terbitan vitamin A yang merangkumi retinol, dianggap dalam bidang dermatologi sebagai antara bahan utama untuk menangani tanda-tanda penuaan kulit. Walaupun retinoid terawal yang diperkenalkan secara komersial kebanyakannya hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor, retinol merupakan antara molekul terawal yang tersedia dalam produk kosmetik dan boleh dibeli secara bebas.
Popularitinya bukan sahaja didorong oleh pelbagai kajian saintifik yang membuktikan keberkesanannya, malah turut disokong oleh penyelidikan terhadap retinoid lain yang hanya boleh diperoleh melalui preskripsi. Tidak banyak bahan penjagaan kulit yang mempunyai bukti saintifik sekuat retinoid. Justeru, sokongan penyelidikan ini meningkatkan keyakinan jenama, pengamal industri kecantikan, pengamal media serta pengguna terhadap keberkesanannya.
3. Apakah masalah kulit utama yang boleh ditangani oleh retinol?
Retinol sesuai digunakan untuk membantu menangani tanda-tanda penuaan, tekstur kulit tidak sekata serta tona kulit yang tidak sekata. Penggunaannya membantu menghaluskan permukaan kulit, menyerlahkan tona yang lebih sekata, mengurangkan penampilan garis halus dan kedutan, selain membantu menyamarkan bintik hitam serta kesan pigmentasi.
4. Pada usia berapakah seseorang boleh mula memasukkan retinol ke dalam rutin penjagaan kulit?
Sebenarnya, tiada had umur khusus yang sesuai untuk semua individu. Di The Ordinary, kami mengesyorkan formulasi yang membantu menangani tanda-tanda penuaan, termasuk produk retinol, kepada mereka yang ingin mengatasi perubahan kulit yang sudah mula kelihatan.
Bagi kulit yang masih muda dan belum menunjukkan tanda-tanda penuaan, penggunaan produk sebegini mungkin belum diperlukan. Komponen struktur kulit seperti kolagen dan elastin lazimnya masih berada pada tahap yang baik serta tersusun dengan teratur sehingga pertengahan usia 20-an. Oleh itu, penggunaan retinol secara umumnya belum menjadi keperluan bagi mereka yang berusia di bawah 25 tahun, melainkan terdapat masalah awal seperti tekstur atau tona kulit yang tidak sekata.
5. Adakah retinol sesuai untuk semua orang, termasuk mereka yang tidak pernah menggunakan bahan aktif dalam penjagaan kulit sebelum ini?
Sesiapa sahaja yang mula menggunakan retinol, termasuk individu yang sudah biasa dengan bahan aktif lain, mungkin mengalami fasa penyesuaian kulit yang dikenali sebagai retinization.
Dalam beberapa minggu pertama, kulit mungkin mengalami pengelupasan setempat, kemerahan dan kekeringan, khususnya di sekitar mata dan mulut. Keadaan ini boleh berlaku ketika kulit sedang menyesuaikan diri dengan penggunaan retinol.
Bagi mengurangkan risiko iritasi, kami menyarankan pengguna baharu bermula dengan kepekatan rendah seperti Retinol 0.3% Emulsion daripada The Ordinary. Gunakan sebanyak saiz sebutir kacang pis pada keseluruhan wajah pada waktu malam.
Walaupun retinol boleh digunakan setiap hari, pengguna baharu disarankan memulakannya dua hingga tiga kali seminggu bagi membantu kulit membina toleransi secara berperingkat dalam tempoh satu hingga tiga bulan.
Kaedah retinol sandwich juga boleh membantu mengurangkan iritasi pada peringkat awal. Caranya adalah dengan menyapu pelembap seperti Natural Moisturizing Factors + HA sebelum dan selepas penggunaan retinol. Teknik ini memberikan kelembapan tambahan serta membantu mengurangkan rasa kering pada kulit.

6. Apakah perbezaan antara retinol, retinal, retinoid dan tretinoin yang memerlukan preskripsi doktor?
Retinoid merupakan kumpulan bahan terbitan vitamin A yang digunakan untuk menangani pelbagai masalah kulit, khususnya yang berkaitan dengan penuaan. Retinol pula ialah salah satu jenis retinoid yang telah dikaji secara meluas. Ia memerlukan dua peringkat penukaran dalam kulit sebelum menjadi bentuk aktif vitamin A, iaitu asid retinoik atau tretinoin.
Retinaldehyde, atau lebih dikenali sebagai retinal, merupakan satu lagi jenis retinoid yang hanya memerlukan satu peringkat penukaran untuk menjadi bentuk aktif tersebut. Proses penukaran yang lebih singkat ini membolehkan retinal bertindak dengan lebih langsung dan secara umumnya dianggap lebih poten berbanding retinol. Oleh itu, ia lebih sesuai untuk pengguna berpengalaman yang sudah membina toleransi terhadap retinoid berkepekatan tinggi.
Walau bagaimanapun, keberkesanan sesuatu formulasi turut bergantung pada kepekatan bahan aktif, teknologi enkapsulasi serta penggunaan bahan pembentuk lapisan pelindung (film formers). Faktor-faktor ini menentukan tahap keberkesanan dan potensi sesuatu produk. Justeru, produk berasaskan retinal tidak semestinya lebih kuat berbanding setiap formulasi retinol yang terdapat di pasaran.
7. Apakah kepekatan retinol yang sesuai untuk seseorang yang baru pertama kali mencubanya?
Bagi pengguna baharu, kepekatan retinol sebanyak 0.3% atau lebih rendah merupakan pilihan yang sesuai untuk memulakan rutin penjagaan kulit. Mulakan dengan kepekatan rendah terlebih dahulu bagi membolehkan kulit menyesuaikan diri sebelum mempertimbangkan formulasi yang lebih tinggi.
8. Berapa kerapkah pengguna baharu perlu menggunakan retinol dan adakah kekerapan pemakaian perlu ditingkatkan secara berperingkat?
Walaupun retinol boleh digunakan setiap hari, pengguna baharu disarankan menggunakannya dua hingga tiga kali seminggu terlebih dahulu. Berikan masa kepada kulit untuk membina toleransi secara berperingkat dalam tempoh satu hingga tiga bulan sebelum meningkatkan kekerapan penggunaannya, bergantung pada tindak balas kulit.
9. Bagi kulit matang, berapakah kuantiti retinol yang sebenarnya perlu disapukan pada wajah?
Saya sentiasa menyarankan pengguna mengikuti arahan penggunaan yang tertera pada pembungkusan produk retinol masing-masing kerana kuantiti yang diperlukan mungkin berbeza mengikut formulasi.
Bagi The Ordinary Retinol 0.3% Emulsion, kami mengesyorkan penggunaan sebanyak saiz sebutir kacang pis untuk keseluruhan wajah.
10. Apakah cara terbaik untuk memperkenalkan retinol ke dalam rutin penjagaan kulit tanpa menyebabkan kulit mengalami iritasi?
Pengguna baharu boleh memulakan penggunaan retinol sebanyak dua hingga tiga kali seminggu bagi membantu kulit membina toleransi secara beransur-ansur dalam tempoh satu hingga tiga bulan.
Selain itu, kaedah ‘retinol sandwich’ boleh digunakan untuk mengurangkan risiko iritasi pada peringkat awal. Teknik ini melibatkan penggunaan pelembap seperti Natural Moisturizing Factors + HA sebelum dan selepas menyapu retinol.
Lapisan pelembap ini membantu mengekalkan kelembapan kulit serta mengurangkan rasa kering, sekali gus menjadikan proses penyesuaian kulit lebih selesa.
11. Berapa lamakah masa yang diperlukan sebelum hasil penggunaan retinol mula kelihatan pada kulit?
Tempoh untuk melihat perubahan bergantung pada formulasi produk, termasuk kepekatan retinol dan bahan sokongan lain yang membantu penghantaran bahan aktif ke dalam kulit.
Berdasarkan kajian keberkesanan klinikal yang dijalankan terhadap The Ordinary Retinol 0.3% Emulsion, kulit mula menunjukkan penampilan yang lebih sihat dalam tempoh satu minggu.
Selepas tiga minggu penggunaan, produk ini didapati membantu memperhalus tekstur kulit yang tidak sekata, meningkatkan seri wajah, menyerlahkan tona kulit yang lebih sekata serta mengurangkan penampilan perubahan warna kulit dan kedutan pada bahagian dahi serta glabela (kawasan antara kedua-dua kening).
Selepas 12 minggu, kajian tersebut merekodkan peningkatan seri kulit sebanyak 69.8% serta pengurangan penampilan bintik hitam sebanyak 22.40%.
Kajian ini melibatkan 34 orang peserta yang menggunakan produk tersebut pada setiap malam selama 12 minggu.
12. Bolehkah retinol digabungkan dengan bahan asid lain? Apakah urutan penggunaan yang betul?
Menurut saranan The Ordinary, retinol tidak digalakkan digunakan dalam rutin yang sama dengan asid pengelupasan, vitamin C tulen atau produk retinoid yang lain. Sebaliknya, pengguna boleh mengasingkan bahan-bahan aktif ini mengikut rutin pagi dan malam.
Sebagai contoh, vitamin C boleh digunakan pada waktu pagi, manakala rutin malam boleh diselang-selikan antara retinol dan asid pengelupasan pada malam yang berbeza.
Namun begitu, niacinamide dan asid hyaluronik boleh digabungkan dengan retinol tanpa sebarang masalah dalam kebanyakan rutin penjagaan kulit. Kedua-dua bahan ini juga membantu menyokong kelembapan dan keselesaan kulit.
Artikel Berkaitan: Retinol VS Bakuchiol? Mana Satu Lebih Sesuai Untuk Kulit Anda?