6 Bingkisan Istimewa Untuk Musim Percutian
Raikan musim percutian dengan lapan bingkisan mewah pilihan jenama ternama, daripada wangian memikat hingga solekan eksklusif yang pasti mencuri perhatian insan tersayang.
Musim percutian sentiasa menjadi kesempatan istimewa untuk meraikan insan tersayang menerusi pemberian yang dipilih sepenuh hati. Menyambut musim penuh kemeriahan ini, jenama mewah mempersembahkan koleksi eksklusif dengan sentuhan istimewa yang cukup memikat. Daripada wangian yang mempesona, solekan yang menawan hinggalah rangkaian penjagaan kulit dalam edisi terhad, setiap bingkisan hadir dengan keistimewaannya tersendiri. Berikut enam pilihan hadiah istimewa yang boleh dijadikan inspirasi untuk menceriakan musim percutian, termasuk sebagai hadiah buat diri sendiri.
Charlotte Tilbury Hollywood Flawless Light Tricks Eye Palette

Diinspirasikan oleh teknik pencahayaan ikonik Hollywood klasik, palet pembayang mata edisi terhad ini menampilkan 12 rona pilihan yang terdiri daripada enam rona matte untuk membentuk dimensi mata dan enam rona Pop bagi menyerlahkan penampilan. Gabungan rona ini mencipta ilusi mata yang lebih besar, cerah dan memukau dengan efek lembut bak cahaya lilin. Sebagai bingkisan musim percutian, palet ini menjadi pilihan menarik buat mereka yang gemarkan sentuhan glamor dalam rutin kecantikan. Reka bentuk rona yang pelbagai turut memberi kebebasan untuk mencipta penampilan berbeza, menjadikannya hadiah yang istimewa dan praktikal untuk dimiliki.
Sisley Eau du Soir Limited Edition 2026

Pilihan wangian istimewa ini tampil dengan ilustrasi bunga Syringa hasil kolaborasi bersama artis Paris, Marie Victoire de Bascher. Diinspirasikan oleh keindahan bunga Syringa yang mekar di taman Alcázar, Seville, Sepanyol, botol edisi terhad ini dihiasi motif floral kontemporari dengan sentuhan keemasan yang menyerlahkan estetika elegan. Keunikan rekaannya menjadikan wangian ini lebih daripada sekadar pelengkap penampilan, malah cukup istimewa untuk dijadikan hadiah buat insan tersayang yang menghargai keindahan seni dan wangian mewah.
Dior Médaillon Limited Edition Glitter Finish Balm

Menyerlahkan keistimewaan musim percutian, Dior memperkenalkan balm kemasan berkilauan yang hadir dalam bekas berbentuk médaillon sebagai aksesori solekan eksklusif. Reka bentuknya diinspirasikan daripada elemen dekoratif salon Dior berkonsep Rococo abad ke-18, lengkap dengan perincian ukiran, reben Fontanges dan ukiran nama Dior di bahagian tengah. Balm dalam rona merah jambu kebiruan ini diperkaya dengan penjagaan berasaskan floral yang membantu mengekalkan kelembapan serta keselesaan. Dengan reka bentuk menyerupai barang kemas koleksi, ia pastinya menjadi bingkisan istimewa buat pencinta kecantikan yang menghargai keunikan dan estetika mewah.
Clé de Peau Beauté Yukiko Noritake Hydro-Softening Essence Lotion

Menyerlahkan keistimewaan musim percutian, Clé de Peau Beauté mempersembahkan Hydro-Softening Essence Lotion dengan sentuhan artistik hasil kolaborasi bersama ilustrator Jepun, Yukiko Noritake. Diinspirasikan oleh keindahan alam semula jadi, ilustrasi bernuansa cahaya keemasan ini melambangkan ketenangan dan keharmonian. Formulanya memberikan hidrasi mendalam sambil membantu mengatasi kekasaran serta kekeringan kulit. Dilengkapi ilustrasi eksklusif yang memikat, essence lotion ini menjadi pilihan hadiah yang cukup istimewa untuk menyuntik sedikit kemewahan dalam rutin kecantikan harian.
Louis Vuitton, LV Rouge Matte

Mengharmonikan keanggunan dunia kecantikan dengan seni savoir-faire mewah, La Beauté Louis Vuitton memperkenalkan LV Rouge Matte menerusi rona Monogram Rouge suatu warna signatur yang teranyam daripada pesona kanvas Monogram dan merah ikonik rumah fesyen ini. Keindahannya kian terserlah di dalam bekas lakuer mewah yang dihiasi kuntuman Monogram lukisan tangan, menjadikan setiap sentuhan tampil begitu puitis dan berkarakter. Umpama permata simpanan buat para pengumpul, LV Rouge Matte menyinar sebagai persembahan eksklusif bagi mereka yang memuja keunikan seni dan kemewahan berkelas tinggi.
CHANEL LA CRÈME MAIN Holiday 2026

Menambahkan sentuhan elegan dalam beg percutian, LA CRÈME MAIN daripada CHANEL tampil dalam edisi terhad bersama pouch putih lembut yang diserikan perincian keemasan. Diinspirasikan oleh pesona sebuah perkampungan kecil yang tersembunyi di celah pergunungan, rekaan ini membangkitkan suasana percutian yang cukup mempesona. Krim tangan ikonik ini membantu melembapkan kulit dan mengekalkan kelembutannya, menjadikannya teman praktikal untuk memastikan tangan sentiasa terjaga sepanjang menjelajah destinasi pilihan.
Artikel Berkaitan: GBC Lulus Advent Calendar Diptyque, Jo Malone London untuk 2025