Adakah Wangian Genderless Hanya Gimik Atau Evolusi Dunia Wangian?
Perubahan ini bukan sekadar trend sementara, tetapi refleksi kepada cara generasi moden melihat identiti dan ekspresi diri. Pengguna hari ini, khususnya Gen Z dan Millennials, tidak lagi memilih wangian berdasarkan kategori jantina semata-mata. Sebaliknya, pilihan dibuat berdasarkan emosi, mood dan bagaimana sesuatu aroma mampu mencerminkan personaliti serta gaya hidup mereka.
Bukan perkara baharu
Dalam banyak cara, wangian sebenarnya tidak pernah benar-benar mempunyai jantina. Mawar boleh menjadi lembut dan romantis, tetapi juga gelap dan sensual apabila digabungkan dengan oud atau rempah. Musk pula boleh terasa bersih dan minimal, atau hangat dan menggoda bergantung kepada komposisinya. Hari ini, perfumers lebih tertarik untuk mencipta ‘mood’ daripada menentukan sama ada sesuatu haruman sesuai untuk lelaki atau wanita.

Menariknya, idea wangian unisex bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu. Pada tahun 1994, Calvin Klein mencetus fenomena global menerusi CK One, antara wangian arus perdana pertama yang dipasarkan untuk semua jantina. Ketika itu, konsep tersebut dianggap revolusioner. Hari ini, pendekatan itu menjadi norma baharu dalam industri kecantikan mewah.
Rumah-rumah parfum moden seperti Le Labo, Byredo, Diptyque dan Mai
Dipengaruhi perubahan budaya
Dalam masa yang sama, industri parfum turut melihat potensi komersial yang besar. Wangian genderless membolehkan jenama menjangkau pengguna yang lebih luas tanpa perlu memisahkan koleksi lelaki dan wanita. Menurut beberapa laporan industri, haruman unisex kini menyumbang hampir 40 peratus jualan premium fragrance dan terus berkembang dengan pesat dalam pasaran global.
Namun apa yang paling menarik ialah bagaimana wangian hari ini semakin bersifat intim dan emosional. Haruman bukan lagi sekadar aksesori kecantikan, tetapi cara seseorang membina identiti peribadi mereka. Ada yang memilih aroma bersih untuk rasa tenang, amber hangat untuk rasa sensual atau citrus segar untuk memberi tenaga dan keyakinan.
Dalam dunia moden yang semakin bebas daripada definisi tradisional, genderless fragrance akhirnya membawa dunia perfumery kembali kepada tujuan asalnya yakni membuat seseorang merasa seperti diri mereka sendiri. Bukan lelaki. Bukan wanita. Hanya personaliti, emosi dan aura yang diterjemahkan melalui aroma.
Artikel berkaitan: GBC Dedah Kesan Sampingan Ozempic
Syafiqah Alkaf
Syafiqah adalah Pengarang Kecantikan di GLAM Malaysia. Dengan kepakaran dalam penulisan editorial dan pemahaman mendalam tentang dunia kecantikan, Syafiqah memimpin serta menghasilkan kandungan tentang kecantikan dan kesejahteraan, membawakan tip dan panduan untuk kesejahteraan diri dan kecantikan pembaca.

