GBC Lulus Mochi Skin Trend Yang Kini Viral di TikTok!
Kulit lembut, kenyal dan gebu seperti kek beras Jepun? Inilah rahsia di sebalik trend mochi skin yang kini menjadi kegilaan di TikTok! Dunia kecantikan tidak pernah berhenti mengagumkan kita dengan pelbagai trend penjagaan kulit yang inovatif. Selepas Korean glass skin yang memberikan kesan kulit berkilat seperti kaca, kini giliran J-Beauty memperkenalkan sesuatu yang lebih lembut dan mesra iaitu mochi skin.
APA ITU MOCHI SKIN?
Mochi skin, atau dikenali juga sebagai “rice-cake skin”, adalah trend penjagaan kulit terkini dari Jepun yang terinspirasi daripada kuih mochi yang lembut dan kenyal. Bayangkan kulit wajah anda mempunyai tekstur yang licin, gebu, padat dan bebas dari garis-garis halus itulah matlamat mochi skin. Berbeza dengan glass skin Korea yang menekankan kesan berkilat dan dewy, mochi skin lebih kepada kemasan matte yang kelihatan sihat dan semula jadi. Yang menariknya, trend ini sangat sesuai untuk mereka yang mengamalkan rutin penjagaan kulit yang minimalis. Jika glass skin memerlukan sehingga 10 langkah penjagaan, mochi skin hanya memerlukan kurang dari lima langkah sahaja. Ini selaras dengan falsafah J-Beauty yang mengutamakan kesederhanaan tanpa mengorbankan hasil yang berkesan.

MENGAPA MOCHI SKIN BEGITU POPULAR?
Kepopularan mochi skin di TikTok bukan tanpa sebab. Trend ini menawarkan pendekatan yang lebih realistik dan mudah dicapai berbanding trend-trend sebelumnya. Kulit yang kelihatan sihat, kenyal dan berisi tidak memerlukan berlapis-lapis produk atau rutin yang rumit. Malah, ia lebih menumpukan kepada penjagaan asas yang betul untuk mengekalkan kesihatan kulit semula jadi. Mochi skin juga ideal untuk pelbagai jenis kulit, terutamanya mereka yang tidak gemar dengan penampilan berkilat atau berminyak. Kemasan matte yang lembut memberikan kesan yang lebih halus dan sophisticated, sesuai untuk acara formal mahupun penampilan harian.
TIRU IDEA GBC UNTUK RUTIN MOCHI SKIN
LANGKAH 1: HANYA GUNA CLEANSING OIL ATAU CREAM CLEANSER
Lupakan pembersih yang keras atau scrub muka. Untuk mencapai mochi skin, anda memerlukan pembersih yang lembut dan tidak menghilangkan minyak semula jadi kulit. Pilih cleansing oil atau cream cleanser yang mampu membersihkan tanpa menyebabkan kulit kering. Jika kulit anda cenderung berminyak, amalkan double cleansing mula dengan cleansing oil, diikuti dengan cream cleanser untuk pembersihan menyeluruh. Satu perkara penting iaitu elakkan sebarang bentuk exfoliator, sama ada kimia seperti glycolic acid atau fizikal seperti scrub. Mochi skin mengutamakan kelembutan dan kehalusan semula jadi kulit.
LANGKAH 2: HIDRAT DENGAN ESSENCE DAN SERUM
Kelembapan adalah kunci kepada kulit yang kenyal dan berisi. Sapukan essence terlebih dahulu untuk membantu penyerapan produk seterusnya, kemudian ikuti dengan serum yang kaya dengan hyaluronic acid. Bahan ajaib ini mampu menghidrat kulit secara mendalam dan memberikan kesan plump yang diidamkan.
LANGKAH 3: KUNCI KELEMBAPAN
Jangan hentikan proses penghidratan di situ! Lengkapkan dengan pelembap ringan yang sesuai dengan jenis kulit anda. Pelembap berfungsi untuk mengunci semua kelembapan yang telah anda berikan kepada kulit, memastikan ia kekal kenyal sepanjang hari.
LANGKAH 4: PERLINDUNGAN SPF
Seperti mana-mana rutin penjagaan kulit Asia, sunscreen adalah wajib dan tidak boleh ditinggalkan. Pilih SPF sekurang-kurangnya 30 untuk melindungi kulit daripada kerosakan sinar UV yang boleh menyebabkan penuaan pramatang. Anda juga boleh memilih pelembap yang sudah mengandungi SPF untuk menjimatkan masa. Trend mochi skin membuktikan bahawa kulit cantik tidak semestinya memerlukan rutin yang rumit atau produk yang mahal. Dengan langkah-langkah mudah yang menumpukan kepada pembersihan lembut dan penghidratan yang mencukupi, anda juga boleh mencapai kulit yang kenyal, lembut dan sihat seperti mochi. Jadi, sudah bersedia ahli GLAM Beauty Club untuk mencuba trend J-Beauty yang viral ini?
Artikel berkaitan GBC Lulus: Skrub Badan Terbaik Yang Menjadikan Kulit Lembut Bak Sutera
Julia Azman
Siapa Julia Azman? Pengarah Kecantikan GLAM ini mengukir nama dalam dunia editorial selama 14 tahun. Perjalanan dari dunia fesyen ke kecantikan membuatkan dia mahir memimpin platform digital dan cetak. “Percayalah rendam wajah dalam ais, buat kulit instant GLOW!”