GLAM THE BEST OF BEAUTY 2026: You Or Someone Like You Dinobatkan Best Niche Fragrance - Glam Beauty Club
?>

GLAM THE BEST OF BEAUTY 2026: You Or Someone Like You Dinobatkan Best Niche Fragrance

Segar, moden dan penuh karakter, You Or Someone Like You oleh Etat Libre d’Orange berjaya memikat hati ahli GLAM Beauty Club, sekali gus meraih gelaran Best Niche Fragrance dalam kategori Fragrance Forward di The Best of Beauty Awards 2026.

Dunia niche fragrance sentiasa menawarkan sesuatu yang berbeza daripada haruman arus perdana. Lebih berani dalam penceritaan dan lebih unik dalam komposisi, setiap ciptaannya mempunyai identiti tersendiri. Tahun ini, You Or Someone Like You daripada Etat Libre d’Orange dipilih sebagai pemenang Best Niche Fragrance di The Best of Beauty Awards 2026, membuktikan bahawa haruman yang ringkas mampu meninggalkan impresi yang cukup mendalam.

Dicipta oleh perfumer Caroline Sabas, haruman uniseks ini tampil dengan karakter yang segar dan bersih, seolah olah menggambarkan suasana pagi yang nyaman di taman bandar. Ia dibuka dengan gabungan pudina, limau gedang, bergamot dan anise yang memberikan ledakan sitrus menyegarkan sejak semburan pertama.

Di bahagian tengah, nota hijau, cassis, mawar dan hedione mencipta lapisan yang lebih lembut dan moden tanpa terasa terlalu floral. Komposisi ini memberikan keseimbangan antara kesegaran tumbuhan dan kelembutan bunga, menjadikan haruman ini sesuai dipakai tanpa mengira jantina atau musim.

You or Someone Like You - Eau de Parfum | Etat Libre d'Orange

Sebagai penutup, white musk menyempurnakan keseluruhan komposisi dengan sentuhan yang bersih dan lembut pada kulit. Hasilnya ialah haruman yang terasa ringan, mudah dipakai setiap hari, namun tetap mempunyai identiti yang tersendiri.

Dalam pasaran niche fragrance yang semakin berkembang, You Or Someone Like You menonjol kerana keberaniannya meraikan kesederhanaan. Segar, sofistikated dan tidak mengikut formula biasa, ia menawarkan pengalaman olfaktori yang terasa moden serta autentik. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan ahli GLAM Beauty Club dan dinobatkan sebagai Best Niche Fragrance di The Best of Beauty Awards 2026.

Wangian You Or Someone Like You boleh didapati di rangkaian butik TROVE atau secara atas talian di trovemy.com.

Artikel berkaitan: GLAM BEAUTY CLUB: THE BEST OF BEAUTY AWARD 2026

Syafiqah adalah Pengarang Kecantikan di GLAM Malaysia. Dengan kepakaran dalam penulisan editorial dan pemahaman mendalam tentang dunia kecantikan, Syafiqah memimpin serta menghasilkan kandungan tentang kecantikan dan kesejahteraan, membawakan tip dan panduan untuk kesejahteraan diri dan kecantikan pembaca.

Pengarang Kecantikan