5 Sheet Mask Korea Yang Wajib Ada Dalam Beg Kabin Anda
Terbang dengan kulit yang kekal berseri! Temui pilihan sheet mask jenama dari Korea terbaik untuk memanjakan wajah, mengunci kelembapan dan memastikan anda tiba dengan pesona kulit yang segar dan bercahaya.
Di sebalik keterujaan menanti destinasi impian, perjalanan panjang di udara adakalanya meninggalkan wajah yang kehausan, kusam dan kehilangan seri. Persekitaran kabin yang rendah kelembapan boleh menjadi cabaran buat kulit untuk mengekalkan kesegaran semula jadinya. Justeru, face mask menjadi teman istimewa sepanjang penerbangan, menyuntik kelembapan serta mengembalikan pesona kulit agar tetap segar dan berseri sebaik tiba di destinasi.
1. Medicube

Menemani perjalanan udara dengan sentuhan penjagaan yang memanjakan kulit, MEDICUBE PDRN Pink Collagen Gel Mask menjadi pilihan menarik untuk mengekalkan kelembapan wajah sepanjang penerbangan. Hadir dengan tekstur gel merah jambu yang beransur-ansur menjadi lutsinar selepas beberapa jam pemakaian, masker ini diperkaya dengan Salmon PDRN, hydrolyzed collagen, niacinamide dan peptide. Gabungan bahan ini membantu mengekalkan hidrasi serta menjadikan kulit kelihatan lebih anjal dan berseri. Boleh dipakai selama tiga hingga empat jam atau dibiarkan semalaman, ia memberikan ruang untuk kulit menikmati penjagaan intensif sebelum tiba di destinasi.
2. Biodance

Biarkan kulit anda dibuai kemewahan hidrasi di awan biru bersama BIODANCE Rejuvenating Caviar PDRN Real Deep Mask. Helaian hidrogelnya yang selembut sutera kaya dengan ekstrak kaviar agung, Salmon PDRN, dan niacinamide untuk mengunci kelembapan serta mengembalikan keanjalan kulit. Sepanjang tiga hingga empat jam pemakaian, tekstur hidrogel ini akan bertukar lutsinar membiarkan setiap titisan kebaikan meresap sempurna ke dasar kulit. Sebaik mendarat di destinasi, serlahkan pesona wajah yang mekar segar, halus, dan berseri laksana kilauan permata.
3. Dr.Jart+

Bawa keajaiban spa Korea ke awan biru bersama DR.JART+ Cryo Spa Mask Collection. Koleksi eksklusif Cryo Rubber™ Mask ini menghimpunkan empat varian yang bersedia memanjakan raut wajah mengikut keperluan anda: Moisturizing Mask bersama Hyaluronic Acid untuk curahan hidrasi, Soothing Mask dengan Allantoin untuk menenangkan kulit, Firming Mask bersama Adenosine bagi mengembalikan keanjalan, serta Brightening Mask yang sarat Niacinamide untuk menyerlahkan seri semula jadi. Keistimewaan teknologi penyejukannya mampu menurunkan suhu kulit sehingga 5.7°C, mencetuskan sensasi dingin yang menyegarkan semula pesona wajah sepanjang penerbangan.
4. Torriden

Rasai belaian hidrasi di awan biru bersama TORRIDEN DIVE IN Mask, teman ideal sepanjang perjalanan udara anda. Ditenun bersama teknologi 5D Hyaluronic Acid, topeng ini mengalirkan curahan kelembapan berlapis agar raut wajah kembali kenyal, lembut, dan segar mekar. Sarat sentuhan Panthenol dan Allantoin, formulanya menenangkan kulit tanpa rasa melekit. Hanya 15 hingga 20 minit pemakaian, helaian masker yang fleksibel ini menyuntik kesegaran tiada tara membangkitkan semula pesona wajah di tengah kelana panjang.
5. Celimax

Mendambakan kulit yang kelihatan licin, lembap dan memberi efek glass skin? Celimax Pore+Dark Spot Brightening Cream Mask menjadi pilihan untuk mendapatkan wajah seakan kilauan kaca dengan tekstur kulit yang lebih halus dan penampilan wajah yang lebih berseri.
Pupur bertekstur krim ini menggabungkan bahan-bahan pencerah dan pelembap bagi membantu menangani masalah tona kulit tidak sekata, bintik gelap serta tekstur kulit yang kasar. Antara kandungan utamanya termasuk niacinamide dan tranexamic acid, dua bahan aktif yang sering digunakan dalam formulasi penjagaan kulit untuk membantu memperbaiki penampilan pigmentasi.
Artikel Berkaitan: PDRN, Ini Rahsia Mengapa Ia Menjadi Pilihan Pakar Estetik