GBC BeauTea Soiree Raikan Yang Terbaik Dalam Kecantikan
Sepetang yang eksklusif di GLAM Beauty Club BeauTea Soiree, menghimpunkan pencinta kecantikan sambil bercerita mengenai produk-produk pilihan menerusi GLAM The Best of Beauty Awards 2026.

Antara momen yang manis adalah apabila kecantikan diraikan bersama mereka yang benar-benar memahaminya. Bukan sekadar tentang formula, tekstur atau hasilnya, tetapi tentang pengalaman mencuba, berkongsi dan menemukan sesuatu yang akhirnya menjadi sebahagian daripada rutin kecantikan harian.
Memahami keinginin itu, GLAM Beauty Club (GBC) mempersembahkan GBC Beautea Soiree, sebuah pertemuan eksklusif bersempena GLAM The Best of Beauty Awards 2026 (TBOB 2026). Dengan himpunan produk-produk yang terbaik dan wanita-wanita yang menghargainya, menjadikan soiree ini begitu bermakna.
Berlangsung di Amazonas KL, TRX, acara intim ini menghimpunkan ahli GLAM Beauty Club dalam sebuah petang yang didedikasikan kepada dunia kecantikan, daripada meneroka produk-produk terbaik pilihan TBOB 2026 hinggalah menikmati jamuan dan perbualan dalam suasana yang santai, elegan dan penuh gaya.
Apabila Komuniti Menjadi Suara Kecantikan

Lebih dari sekadar sebuah komuniti, GLAM Beauty Club merupakan ruang yang menghubungkan generasi baharu pencinta kecantikan dan pencipta kandungan melalui pengalaman eksklusif, perbualan berinformatif serta penemuan terkini daripada jenama-jenama kecantikan terkemuka.
Semangat ini turut diterjemahkan menerusi The Best of Beauty Awards 2026, anugerah kecantikan berteraskan komuniti yang meletakkan ahli GBC sebagai juri dalam proses pemilihan.
Di sini, suara pengguna diberi ruang. Pengalaman sebenar, pilihan peribadi dan perspektif komuniti menjadi sebahagian daripada perjalanan dalam menentukan produk-produk yang layak bergelar antara yang terbaik dalam kecantikan.
Sebuah Petang Dengan Kemanisan

Bermula dengan sesi ketibaan tetamu pada jam 11 pagi, para ahli GBC diberi peluang untuk meneroka barisan produk pemenang TBOB 2026 secara lebih dekat sebelum majlis rasmi dimulakan.
Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM, diikuti Safia Alia, Pengurus Pemasaran untuk penaja lokasi soiree cantik ini iaitu, Amazonas di TRX, KL.

Sambil menikmati hidangan yang disajikan dalam beberapa sajian, para tetamu turut disajikan dengan Beauty Talk bersama Nina Ariff dan Aizat Aidid, sebuah perbualan yang mengangkat perspektif, minat serta trend dunia kecantikan masa kini.
Gaya Yang Menjadi Tumpuan

Sudah menjadi lumrah setiap acara GLAM hadir bersama elemen gaya yang tersendiri. Maka, sesi Best Dressed menjadi antara momen yang mencuri perhatian pada petang tersebut.
Dengan personaliti dan gaya masing-masing diterjemahkan menerusi pilihan busana, para tetamu diraikan atas interpretasi gaya mereka, dengan hadiah disampaikan oleh Aizat Aidid.
Ia bukan sekadar soal siapa yang paling bergaya, tetapi tentang keberanian mengekspresikan diri, sejujurnya ia satu nilai yang sememangnya dekat dengan dunia kecantikan dan identiti GLAM.
Membawa Pulang Momen Indah

Pada penghujung hari, GBC Beautea Soiree meninggalkan lebih daripada sekadar kenangan sebuah acara. Ia menjadi tanda bahawa dunia kecantikan sentiasa berkembang apabila kita mempunyai ruang untuk berkongsi, mencuba dan meraikannya bersama.
Daripada produk yang menjadi kegemaran baharu, perbualan yang tercetus di meja makan hinggalah momen-momen spontan yang dirakam sepanjang acara, setiap satunya mencerminkan semangat GLAM Beauty Club, sebuah komuniti yang dibina atas keaslian, hubungan dan minat terhadap kecantikan.
Kerana kecantikan itu sememangnya subjektif, lebih dari sekadar memakai gincu merah, palitan maskara melentik dan pemerah pipi bak pauh dilayang. Ia tentang bagaimana kita menghayatinya, mengekspresikannya dan berkongsi rasa itu bersama. Dan di GLAM Beauty Club, setiap momen cantik sememangnya lebih indah apabila diraikan bersama.

Antara Pemenang Utama GLAM The Best of Beauty Awards 2026:
- Louis Vuitton Ambre Levant dinobatkan sebagai Best Eau de Parfum – Fragrance Forward
- Chanel Le Rouge Duo Ultra Tenue dinobatkan sebagai Best Long-Wear Lip Colour
- Tanamera Lulur Scrub dinobatkan sebagai Best Body Scrub & Body Wash
- Tanamera Ageless Facial Oil dinobatkan sebagai Best Facial Oil
- Bio-Oil Skincare Oil dinobatkan sebagai pilihan terbaik untuk kategori Best Body Care
- You Or Someone Like You dinobatkan sebagai Best Niche Fragrance
Anda juga boleh semak senarai penuh pemenang GLAM The Best of Beauty Awards 2026 di bawah:
Senarai Pemenang TBOB Kategori Fragrance Forward
Senarai Pemenang TBOB Kategori Prestige Iconic
Pemenang TBOB Pilihan GBC Mentafsir Semula Rutin Hair and Body Revolution Masa Kini
Semak Senarai Penuh Pemenang TBOB Dalam Kategori Hybrid Makeup
TBOB Mendedahkan Kurasi Next-Gen Skincare Terbaik Yang Wajib Anda Miliki